Pekerja asing tanpa dokumen jadi ‘beban’ ekonomi Malaysia – SUHAKAM

Pekerja tanpa dokumen menghadapi risiko tinggi, termasuk isu pembayaran gaji – NSTP/EFFENDY RASHID

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan jumlah pekerja migran yang signifikan, dengan 2.4 juta pekerja yang didokumentasikan dan kira-kira 1.2 juta hingga 3.5 juta pekerja asing tanpa dokumen.

Jumlah pekerja asing tanpa dokumen yang besar itu menjadi cabaran utama yang perlu ditangani, terutama kerana mereka bekerja dalam sektor kecil seperti kontraktor, pembinaan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Bagi pekerja yang didokumentasikan, terdapat perlindungan asas seperti insurans hospital minimum.

Namun, pekerja tanpa dokumen menghadapi risiko tinggi, termasuk isu pembayaran gaji dan kurangnya akses kepada perlindungan sosial.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Ragunath Kesavan, berkata adalah penting untuk mengubah perspektif mengenai pekerja migran tanpa dokumen daripada sekadar ‘beban’ kepada ‘aset ekonomi’ yang menyumbang secara positif kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata, usaha harus dipertingkatkan untuk memastikan semua pekerja migran didokumentasikan.

Katanya, pekerja migran yang didokumentasikan boleh menyumbang kepada ekonomi melalui pembayaran cukai dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau menambah, selain caruman diwajibkan untuk semua pekerja, termasuk pekerja migran, insurans untuk pekerja migran, termasuk pekerja domestik, juga perlu diwujudkan untuk melindungi kedua-dua pihak, iaitu pekerja dan majikan.

“Kos pengambilan pekerja migran perlu dikurangkan dengan menghapuskan peranan orang tengah dan mewujudkan proses pengambilan yang lebih telus melalui perjanjian antara kerajaan (G2G).

“Tempoh visa kerja perlu dipanjangkan kepada tiga atau lima tahun untuk mengurangkan beban kewangan majikan,” katanya pada Perbincangan Meja Bulat: Memperluaskan Liputan KWSP kepada Pekerja Asing di Malaysia anjuran Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya, hari ini.

Ragunath juga berkata, pekerja migran perlu diberikan informasi mengenai hak dan tanggungjawab mereka dalam bahasa yang mudah difahami, termasuk melalui aplikasi digital.

Beliau berkata, perlindungan sosial harus merangkumi pekerja domestik yang sering menghadapi eksploitasi kerana kekurangan akses kepada maklumat dan sokongan.

Jelasnya, masalah di Malaysia ialah perundangan berkaitan perlindungan jauh ketinggalan dari segi perlindungan pekerja asing.

“Isu lain termasuk kos pengambilan yang tinggi, kurangnya koordinasi antara agensi kerajaan, dan ketiadaan pusat sehenti untuk pengurusan pekerja migran.

“Ini menimbulkan masalah seperti pekerja terkandas di lapangan terbang dan eksploitasi oleh ejen pengambilan,” katanya.

Tags: SUHAKAM

More Posts

Send Us A Message