MUAR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor memberkas seramai 43 warga asing selepas menggempur enam kilang perabot serta rumah-rumah pekerja dalam serbuan sekitar daerah ini kelmarin.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi bersepadu berskala besar melibatkan sepasukan pegawai penguat kuasa cawangan Muar, Segamat dan Batu Pahat itu bermula pukul 9 pagi hingga 10 malam.
“Operasi tersebut melibatkan pemeriksaan di beberapa lokasi tumpuan termasuk kilang perabot serta rumah-rumah yang dijadikan penempatan pekerja asing.
“Tindakan ini dijalankan bagi mengesan warga asing yang melakukan pelanggaran di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta majikan yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kekecohan turut berlaku ketika operasi dijalankan apabila sebahagian pekerja cuba melarikan diri dan bersembunyi di beberapa lokasi di dalam kawasan kilang.
Namun katanya, tindakan pantas anggota penguat kuasa berjaya menutup semua laluan keluar sekali gus menamatkan cubaan meloloskan diri.
Beliau memberitahu, mereka yang ditahan terdiri daripada 15 lelaki dewasa warga Bangladesh, seorang lelaki dewasa Pakistan, lapan lelaki dewasa Myanmar, lapan lelaki dewasa Nepal, lima lelaki dewasa China dan tiga wanita dewasa Indonesia.
Tambahnya, turut ditahan termasuk seorang kanak-kanak perempuan Indonesia, seorang kanak-kanak perempuan Bangladesh dan seorang perempuan dewasa Myanmar.
“Mereka yang berusia 14 hingga 62 tahun ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nenas, Pontian untuk siasatan dan tindakan lanjut, katanya.
Dalam pada itu, JIM Johor memberi amaran keras bahawa sebarang taktik untuk menyembunyikan pekerja asing tanpa izin tidak akan terlepas daripada radar penguatkuasaan.
“Operasi seupama ini akan diteruskan bagi mengekang penyalahgunaan pekerja asing serta memastikan kedaulatan undang-undang dipertahankan,” tegasnya. – MalaysiaGazette


























